Thursday, May 9, 2013

Apa Lagi Orang Cina Mahu?

Apa yang "orang Cina" mahu mencerminkan apa yang semua Rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa atau agama mahu!
Kami rakyat Malaysia mahu sebuah kerajaan yang pada asasnya bersih, cekap dan amanah dan bukan kerajaan yang hanya bersih, cekap dan beramanah sahaja dalam retorik.

Sila baca pandangan bekas tokoh UMNO Dato' Zaid Ibrahim :
Selepas 30 tahun dimanjakan, Perdana Menteri kini mempunyai tugas sebenar yang perlu ditangani. Kemenangan BN bukan satu kemenangan yang manis. Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menyelamatkan BN dan dirinya. Lebih baik melakukannya sekarang sebelum terlambat. Akan tetapi, kenyataan beliau mengenai penyatuan nasional membuatkan saya segera terjaga. Beliau telah meletakkan penyatuan nasional sebagai perkara paling utama yang perlu disegerakan. Memanglah hal itu perlu disegerakan. Beliau boleh dikatakan telah hilang semua sokongan orang Cina dalam  negara. Pada masa yang sama beliau telah  menjadikan pelampau Melayu tambah berani dalam usaha mereka untuk memperkukuhkan lagi Ketuanan Melayu walaupun membahayakan perpaduan kita.
Sebagai rakan lama dalam kabinet, saya tahu beliau tidak menyukai politik pertarungan. Beliau lebih berminat untuk mengambil pendekatan meredakan dan menyenangkan hati pihak lain, tetapi ini tidak akan ada gunanya apabila berurusan dengan pelampau-pelampau UMNO. Beliau telah cuba sedaya upaya untuk menyenangkan hati mereka dengan meletakkan Ibrahim Ali dan Zulkifli Nordin sebagai calon-calon dalam pilihan raya kali ini. Kadangkala ucapan-ucapan beliau di hadapan khalayak UMNO mempunyai `trademark’ yang tidak bertolak ansur, sama seperti suara pelampau-pelampau berkenaan, sambil menambah asam garam pada ucapan-ucapan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ibrahim – malah gaya Najib berpidato mempunyai nada turun naik yang berapi-api. Tetapi, saya rasa beliau masih mempunyai kebimbangan sebenar mengenai perpaduan nasional. Kita sama-sama lihat apa yang bakal beliau lakukan dalam beberapa minggu yang akan datang.
Saya akan percayai bahawa beliau serius mengenai penyatuan nasional jika sebagai permulaannya beliau boleh melakukan perkara-perkara yang berikut:
  1. Membubarkan Biro Tata Negara, sebuah jabatan yang pada mulanya ditubuhkan untuk membuka mata dan minda orang Melayu terhadap pembangunan negara dan bagaimana mereka boleh mengambil bahagian dalam proses berkenaan. Namun demikian, ia telah menjadi sebuah tempat latihan propaganda fasis yang berbahaya. Ia sama sekali tidak produktif dan tidak memberikan pandangan yang positif kepada orang Melayu.
  2. Secara terang-terangan menolak Perkasa dan orang seumpama Dr Mahathir, Ibrahim dan Zulkifli. PM tidak ada lagi sebarang alasan untuk menuruti kemahuan Dr Mahathir kerana sekarang ini beliau sudah memperoleh mandatnya sendiri. Melakukan perkara-perkara yang kurang daripada itu tidak memadai.
  3. Mengarahkan Peguam Negara supaya memansuhkan Akta Hasutan, kecuali beliau sanggup memakai undang-undang berkenaan dengan adil dan tanpa memihak mana-mana. Sebarang kenyataan daripada UMNO/Perkasa mestilah dilihat secara objektif sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang dan tindakan mesti diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang berkenaan. Ia tidak boleh hanya terpakai kepada Karpal Singh dan Lim Kit Siang sahaja.
  4. Dengan segera menyusun semula Utusan Melayu dan Kumpulan Media Prima supaya pengendali media dan wartawan berhenti meracuni fikiran orang Melayu dengan sampah-sarap/berita-berita tak berguna yang berbahaya, yang sudah menjadi amalan biasa mereka. Jika Perdana Menteri tidak nampak kerosakan yang mereka lakukan ini, maka beliau tidak layak bercakap mengenai penyatuan nasional.
Orang Cina tidak meminta sebanyak yang diminta oleh pengerusi Hindraf P Waythamoorthy bagi pihak masyarakat India, yang telah disanggupi oleh Perdana Menteri. Orang Cina cuma meminta supaya mereka dihormati dan dilayani secara adil. Memang benar orang Cina lebih baik dari segi ekonomi berbanding orang Melayu, tetapi ini tidak kena-mengena dengan kemahuan mereka untuk merasai sama-sama dilibatkan dalam cara bagaimana negara ini diurus. Perdana Menteri mestilah menolak Ketuanan Melayu selama-lamanya. Ketuanan Melayu merupakan satu konsep yang tidak membawa apa-apa makna tetapi membawa begitu banyak perpecahan di dalam negara.
Sesetengah pihak akan mengatakan bahawa orang Cina juga merupakan pelampau dan surat khabar mereka juga mengapi-apikan dan menghasut. Kalau benarlah begitu, maka gunakanlah undang-undang secara adil dan dakwa mereka – tetapi tidak boleh membenarkan Utusan melepaskan diri apabila melakukan pembunuhan dan merungut pula apabila orang Cina memberikan reaksi mereka. Orang Cina tidak perlu mengundi pemimpin UMNO untuk meneruskan perniagaan mereka. Menghukum orang Cina tidak mendatangkan hasil kerana orang Cina merupakan masyarakat yang berdikiri dan licik. Lebih kuat Perdana Menteri bergantung pada orang seperti Ibrahim dan Zulkifli, bertambah kuranglah peluang seseorang ahli politik UMNO untuk mendapatkan undi orang Cina.
Walau apapun, ada orang Melayu yang akan menyokong orang Cina dan kumpulan etnik yang lainnya kerana orang Melayu ini mahu melihat kedamaian dan kestabilan di dalam negara. Mereka begitu membenci dasar-dasar yang mendiskriminasikan dan mereka mahu melihat perpaduan dalam jangka masa panjang. Sudah jelas sekarang DAP tidak akan sebegini baik prestasinya kalaulah bukan kerana sokongan orang Melayu.
Akhir sekali, hentikanlah memanggil Kit Siang sebagai rasis. Beliau seorang pemimpin masyarakat Cina yang dihormati dan telah berkhidmat selama bertahun-tahun di Parlimen. Perdana Menteri seharusnya mencadangkan supaya beliau dianugerahkan gelaran “Tan Sri” kerana khidmatnya yang bertahun-tahun lamanya itu seperti halnya bekas Ketua Pembangkang di Parlimen Tan Chee Khoon.
Dengan cara ini tidak ragu-ragu lagi Perdana Menteri bakal dihentam teruk daripada penaung Perkasa dan daripada timbalannya sendiri. Dan kalaulah Perdana Menteri benar-benar mahu menyatupadukan negara, beliau mesti ada keberanian untuk melakukannya.
###


Dato' Mohd Zaid Ibrahim (born 10 April 1951) is a prominent Malaysian lawyer turned politician and is a former Minister in the Prime Minister's Department in charge of legal affairs and judicial reform. He was previously a Senator in the Dewan Negara, the upper chamber of the Parliament of Malaysia.

No comments:

Post a Comment