Kami adalah sekumpulan rakyat Malaysia berbilang kaum dan pelbagai agama serta mempunyai latarbelakang yang berbeza-beza termasuk dari bidang akademik, perniagaan, profesional, tentera dan sukarelawan. Kami tergerak hati untuk berkongsi rasa bimbang kami terhadap kesan negatif ke atas masyarakat kita akibat daripada perjalanan pilihan raya umum kali ini.
Kami menyuarakan keprihatinan kami atas dasar cintakan negara beserta keinginan untuk melihat masyarakat majmuk kita terus melangkah maju ke depan.
Malaysia memerlukan sebuah kerajaan yang lebih baik dibentuk dan tadbir urus yang lebih cekap diwujudkan, lebih-lebih lagi pada ketika ini tatkala pertelagahan kaum dan kebencian agama sedang memuncak serta gejala ekstremisme kian menular.
Sekiranya negara kita berjaya mengharungi saat-saat genting masa kini, kami yakin Malaysia boleh menjadi contoh bagi seluruh dunia dalam menunjukkan cara kita menangani jurang perbezaan kaum dan agama. Negara-negara asing akan berminat untuk meneladani keupayaan kita menegakkan keadilan sosial dan mengagihkan kekayaan sumber alam dengan saksama meskipun Malaysia terdiri daripada banyak kaum-kaum yang berlainan dengan tuntutan masing-masing.
Sudah terlalu kerap kita dikecewakan oleh kerajaan yang dipilih diri kita sendiri. Yang paling dikesali ialah bagaimana ahli-ahli politikus – yang kita undi – telah membelakangkan amanah yang diberikan pemilih kepada mereka hanya untuk mengisi tembolok dengan mencedok daripada peti perbendaharaan awam. Kuasa dan kekayaan ditumpukan di tangan sekerat sahaja golongan pemerintah, dan hak demokrasi rakyat dilunturkan angkara sindrom kadok naik junjung di persada politik.
Dalam
beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia sering menduduki tangga
teratas di kalangan negara-negara yang mengalami kerugian paling tinggi
gara-gara aliran keluar wang haram. Menurut badan Integriti Kewangan
Global, aliran keluar wang haram dianggarkan berjumlah sebanyak RM871.4
bilion menjangkaui tempoh 10 tahun lepas (2000-2010). Tahap kehilangan
modal yang begitu menirus tidak dapat tidak akan membawa padah.
Pilihan raya akan datang memberi peluang untuk kita mengerjakan tanggungjawab dalam memutuskan siapa yang layak memimpin negara. Ianya hak individu dan kolektif kita untuk menentukan supaya mereka-mereka yang terpilih mempunyai kebolehan untuk mengurus kewangan, ekonomi dan politik negara dengan adil dan saksama. Jikalau kita membuat pilihan yang kurang wajar, jangan pula kita hendak menyalahkan orang lain nanti.
Pesanan ringkas (di bawah) sudah dicetak dan akan kami edarkan ke seluruh pelosok negara. Ia bertujuan memperincikan pendirian kami tentang isu-isu semasa – kami percaya bahawa pegangan yang utuh kepada prinsip dan nilai-nilai murni akan mampu menyekutukan masyarakat kita supaya bertambah mutu.
Moga-moga para calon yang berjaya dilantik akan memenuhi harapan kita semua agar wakil rakyat itu yang terpilih nanti merupakan insan berakhlak tinggi dan yang berwibawa.
Kami berharap pesanan pilihan raya di atas – yang bersifat neutral – akan boleh dihayati oleh kedua-dua pihak BN dan Pakatan Rakyat dan parti-parti lain yang bertanding PRU13. Adakah anda menjangka bahawa para politikus akan mengotakan kata-kata serta menunaikan janji-janji mereka pada hari depan?
Sebagai pemilih, bukankah kita mengkehendaki calon itu yang kita pangkah pada hari mengundi supaya beringat sepanjang waktu dan bukan hanya sekadar tempoh musim kempen pilihanraya?
Sesiapa yang berminat untuk menyokong pesanan kami – sama ada sebagai orang perseorangan atau di bawah payung organisasi-organisasi masyarakat madani – adalah digalakkan untuk mencetak (printout) dan menyebarkan mesej kami dengan bebas dan tanpa apa-apa syarat.
No comments:
Post a Comment