DIIKUTKAN pengalamannya, wanita yang dilahirkan dengan nama Rachel Guerzo ini sebenarnya sudah kira-kira dua dekad menghambakan dirinya pada dunia seni. Begitupun, namanya tidaklah mekar di arus perdana kerana wanita berbakat ini lebih senang meneruskan minatnya dalam dunia persembahan berskala lebih kecil seperti majlis makan malam korporat mahupun di hotel serta kelab.
Namun, sejak tiga tahun lalu, dia mula memberikan tumpuan kepada muzik jazz untuk membawa karier seninya ke peringkat lebih jauh lagi. Penghujung tahun lalu, dia berjaya menghasilkan sebuah album berjudul Just Friends, yang memuatkan tiga lagu Melayu dan tiga Inggeris. Diterbitkan hasil titik peluhnya sendiri, album yang mengetengahkan muzik jazz tulen itu menjadi buah tangan paling berharga buat Rachel kerana ia memberikannya peluang untuk bekerja dengan pemuzik ternama, termasuk bapanya sendiri, Salvador Guerzo.
"Peminat sudah lama menyarankan saya merakamkan suara ke album. Namun, sebelum ini saya agak terikat dengan beberapa hal lain. Lagipun, saya tidak perlu tergesa-gesa dalam menghasilkan album ini.
"Selain memenuhi impian peminat, album ini juga membolehkan saya menunaikan hasrat bekerja dengan bapa sendiri. Di samping itu, saya turut berupaya untuk merakamkan lagu ciptaan datuk saya, Alfonso Soliano, menerusi album ini," kata Rachel ketika berkunjung ke Balai Berita, baru-baru ini.
Lebih membuatkan dirinya terharu, Just Friends memberikannya ruang untuk bekerjasama dengan pemuzik handalan termasuk pemain genderang dari Brazil, Valtinho Anastacio.
"Komuniti muzik jazz ini sebenarnya tidaklah besar sangat. Saya sendiri diperkenalkan kepada Valtinho ketika dia mengadakan persembahan di Kuala Lumpur. Dari situ, saya memaklumkan mengenai projek album terbabit dan dia bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada projek istimewa ini," kata Rachel.
Bercerita mengenai pembabitannya dengan muzik jazz, penyanyi yang juga pemain piano kelahiran Kuala Lumpur ini memberitahu, semuanya bermula apabila pemuzik Farid Ali mencadangkan dirinya berhenti menyanyi di hotel, sebaliknya memilih satu genre muzik yang digemari, yang seterusnya mampu membawa dirinya ke peringkat lebih tinggi.
"Jika diikutkan, kepuasan yang dicapai ketika mengadakan persembahan di kelab atau hotel sebenarnya lebih tinggi. Namun, demi membawa karier saya ke peringkat lebih jauh, saya memilih untuk menghasilkan album dan memperjuangkan muzik nuasa jazz ini," katanya yang teringin untuk bekerjasama dengan lebih ramai pemuzik antarabangsa dalam projek album akan datang.
Katanya, jika album pertama mendapat sambutan membanggakan, dia merancang untuk merakamkan lebih banyak lagu Melayu klasik, yang akan disuntik dengan elemen muzik antarabangsa.
Boleh didapati di kebanyakan kedai muzik ternama, secara online, serta di No Black Tie, album berharga RM35 yang mengambil masa kira-kira setahun untuk disiapkan itu juga boleh dibeli peminat pada lokasi persembahan penyanyi ini, termasuk pada persembahannya di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), 27 April ini.
Janjikan persembahan terbaik di DFP
SELEPAS Mia Palencia dan Noryn Aziz, kini tibalah pula giliran Rachel untuk menaiki pentas berprestij DFP menerusi siri persembahan DFP Spotlight: Jazz, bagi musim 2009/2010. Dijadualkan bermula jam 9 malam, penyanyi wanita berusia 35 tahun ini akan tampil bersama lima pemuzik.
Selain dirinya sendiri yang menyanyi dan bermain piano, persembahan yang memakan masa kira-kira satu jam 15 minit itu turut menampilkan Steve Thornton yang bermain genderang, Ruslan Imam (gitar bes), Nik Khair (gitar), Salvador Guerzo (saksofon) dan Rizal Soliano (dram). Rizal ialah bapa saudara kepada penyanyi yang sememangnya dilahirkan dalam keluarga seni ini.
Pada malam berkenaan, Rachel bukan sekadar bakal menyanyikan lagu petikan album Just Friends, seperti Jauh Jauh dan Gadis Idamanku, dia juga akan mendendangkan lagu jazz popular seperti It Don’t Mean A Thing If It Ain’t Got That Swing, Easy To Love dan Just In Time.
"Berbeza dengan persembahan saya di beberapa kelab seperti Alexis dan No Black Tie, yang menyaksikan saya beraksi secara kuartet, kemunculan di DFP nanti akan dimeriahkan juga dengan permainan muzik gitar dan perkusi," katanya yang muncul buat julung kali di DFP.
Menurut wanita yang mula bermain piano sejak usianya lima tahun ini, sudah tentu dia akan memberikan persembahan terbaiknya pada kemunculan sulung di dewan berprestij berkenaan. Ketika yang sama, dia ingin berseronok, seterusnya meninggalkan kenangan indah buat peminat yang datang.
KLIK DI SINI : Tiket menyaksikan persembahan Rachel dijual pada harga RM40. Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi 03-20517007.
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff Berita Harina 2010/04/16
Gambar
Orangnya secantik muziknya!
ReplyDelete